Tajuk: Mimpi semalam
“kau nak pergi solat, pergilah!
Jangan kacau aku boleh?”. Bentak Hindun. Hatinya membengkak lantaran tidurnya
sering diganggu Asmah. Hari ini hari ahad. Untuk subuh hari ini sahaja, sudah lebih
10 kali rakan sebiliknya itu mengejutnya untuk solat. bermula jam 5.45 pagi
hinggalah waktu terakhir dia mengejut iaitu 7.00 pagi. Kepala Hindun masih
berat dek kerana mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam. ditambah pula
dengan kesan minuman berkafein yang diambil setiap kali Hindun mahu berjaga
malam. Hindun memang seorang mahasiswa pintar dan rajin yang meletakkan
pelajaran sebagai priority utama dalam hidupnya. Tidak hairanlah jika semua
keputusan peperiksaannya mendapat gred tertinggi iaitu 4 flat.
“Dengan keputusan yang bagus
inilah, masa depan kita cerah. Keluar university nanti pun, bakal majikan nak
tengok pointer kita berapa. Kalau tinggi, baru dia nak ambil kita sebagai
pekerja dia.” Hindun cuba mencipta ideology setiap kali perbualan mengenai
kerjaya dibincangkan bersama-sama rakan sekelasnya. Dia begitu yakin tentang
itu.
“lelaki sekarang ni pun, mestilah
nak cari calon isteri yang pandai dan berkerjaya. Kalau diberi pilihan antara
pengetua sekolah dengan guru biasa, mestilah dia pilih pengetua. Antara
engineer dengan pekerja kilang, mestilah dia pilih engineer.” Ini pandangan
Hindun jika rakan-rakannya membuka topik jodoh . Begitu sifir mudah yang Hindun
hadam dalam pemikirannya.
Asmah masak benar dengan prinsip
hidup teman sebiliknya yang seorang ini. Dia juga sudah lali dengan perbuatan
Hindun yang sering memperkecilkan dirinya yang hanya memperoleh keputusan
peperiksaan yang sederhana.
“kau ni Asmah, selalu sangat
sibuk dengan persatuan kau tu! Usrah lah, program lah. Dah la selalu hilang kat
bilik. Sebab tu la kau tak boleh nak challenge result aku!” begitu tuduhan
Hindun terhadap Asmah gadis bertudung labuh itu. Asmah hanya membalasnya dengan
senyuman. Dia yakin dengan rutin hariannya sebagai seorang ahli persatuan Islam
di kampus bukanlah penyebab keputusan peperiksaannya tidak begitu
memberangsangkan. Asmah sudah membahagikan masa secukupnya. Dia tidak pernah
ponteng kelas. Setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah juga dihantar
mengikut masa yang ditetapkan. Malah, dia telah mewajibkan untuk belajar di
luar bilik kuliah selama tiga jam sehari. Dia sudah berusaha sebaiknya.
Selebihnya dia bertawakal kepada Allah. Dia yakin dengan maksud surah At-Talaq
ayat tiga itu.
Jam menunjukkan 10 pagi. Hindun
tidak menampakkan tanda-tanda yang dia ingin bangun. Asmah masih tekun
menghadap laptop menyiapkan laporan program anjuran persatuannya tiga hari
lepas.
“Adui.. sakitnya kepala aku.
Badan aku pun sakit-sakit.” Keluh Hindun.
“Eh, aku ni ada kat mana? Kenapa
lain macam je..”. Hindun memerhati suasana di sekeliling.
“itu almari baju aku. Itu
buku-buku aku. Ini semua barang-barang aku. Baki air Nescafe malam tadi pun ada
lagi dekat atas meja tu. Oh! Ni kan bilik aku.. apalah aku ni, bilik sendiri
pun dah lupa ke.. ni mesti pening sebab minum Nescafe pekat sangat malam tadi
ni” hindun mencongak-congak sendirian. Namun, bimbang di hatinya belum hilang.
Tiba-tiba dia terkejut. Hatinya
bagai mahu tercabut. Darahnya seolah-olah berhenti. Dia menjerit sekuat hati.
“aku kan dah bangun tidur.. tapi
tu siapa yang terbaring atas katil aku tu? Baju dia sama dengan baju yang aku
pakai sebelum aku tidur semalam. Rambut dia.. muka dia.. macam aku..!” Hindun
membuat pemerhatian.
“ kalau dia aku, habis tu aku ni
siapa? Aku ni roh ke? Aku mimpi ke? Atau aku dah ma… Tidak! Tidak! Aku tak
boleh mati. Asmah, asmah!! Kejut aku cepat! Asmah! Kau tak dengar ke Asmah? Kau
tak Nampak aku ke Asmah? Aku dekat tepi kau ni..” Hindun terus menjerit
melolong kepada Asmah. Namun, apakan daya. Asmah tidak boleh melihatnya di saat
ini.
“asmah, tolong lah Asmah..
kejutlah aku.. nanti orang ingat aku dah mati..Asmah.. Asmah.aku janij. Kau
kejut aku lagi, nanti aku bangun solat subuh..” Hindun terus merayu seperti
anak kecil yang mahu susu dari ibunya namun Asmah masih khusyuk membuat
kerjanya.
“ya Allah.. apa dah jadi pada aku
ni? Kenapa aku macam ni? Apa semua ni?”
Asmah membetulkan duduknya.
Matanya yang sedikit berair kerana terlalu lama menghadap laptop
digenyeh-genyeh. Dilihat jam di desktop, sudah menunjukkan jam 11 pagi.
“ya Allah aku tak solat dhuha
lagi ni”. Bisiknya sendirian. Dia bingkas bangun meninggalkan kerusi, dan
membuka pintu bilik untuk ke bilik air mengangkat wudhu’.
“Asmah, jangan tinggalkan aku
Asmah! Kau nak pergi mana tu? Kau tak perasan ke aku ni.. kejutkan lah aku
Asmah..! Asmah! Asmah!” Hindun tidak puas merayu.
Asmah masuk kembali ke biliknya.
Telekung yang tersidai di birai katilnya segera dipakai kemas. Dia menjeling
kearah Hindun. Hatinya serba salah untuk mengejut buat kali ke 11. Bimbang dia
ditengking seperti pagi tadi.
“alah, takpe, aku kejut sebab nak
ajak makan kejap lagi” Asmah sudah bersedia dengan alasan sekiranya dia
dimarahi Hindun sekali lagi.
Tangannya yang masih basah kerana
mengangkat wudhu’ dirasakan mampu membuat Hindun tersedar.
“Hindun, Hindun.. bangun. Lama
sangat kau tidur ni. Dah nak tengah hari ni. Jom turun makan.” Tuturnya lembut
sambil tangannya menggerakkan kaki Hindun.
“Hindun, Hindun! Hin…dun..”.
Tiba-tiba Asmah berasa seperti
ada yang tidak kena. Dia memegang kemas kaki Hindun. Sejuk. Dia menelentangkan
badan Hindun yang dalam posisi mengiring sebelumya. Pelik. Hindun tetap tidak
sedar. Hati Asmah bergetar. Dia terasa seram sejuk. sambil membaca
bismillah, dia meletakkan dua jarinya ke tengkuk Hindun seterusnya di bawah
hidungnya untuk merasa hembusan nafas. Dadanya juga tidak kelihatan pergerakan
turun naik nafas. Innalillahiwa inna ilahirajiun..
Part 2
“Tiiidaaaaaak! Aku tak mati
lagi!”, Hindun tidak puas berteriak.
Hindun terduduk di suatu sudut.
Dia menangis semahunya. Jiwanya serabut. Perasaan terkilan memenuhi relung
jiwanya. Kepalanya digeleng-gelengkan kerana seboleh-bolehnya mahu menafikan
apa yang dilihat sebentar tadi. Kakinya dihentak-hentak ke lantai.
“Aku tak boleh mati! Masih
banyak benda yang aku kena buat. Study aku tak habis lagi. Aku perlu ada
kerjaya. Masa depan aku panjang lagi. Aku muda lagi!,” Hindun menjerit lagi. Dia masih tidak
mahu menerima kenyataan. Duniawi terasa berat untuk dilepaskan.
“Uhuk! Uhuk… aaa…”, Hindun menangis semahunya. Bahunya
turut sama terhejut-henjut seiring dengan esakannya. Perpindahan ke alam
barzakh itu nampaknya tidak dapat langsung diterima. Dia sudah tidak keruan.
Rambutnya ditarik-tarik. Pipinya ditampar-tampar. Kadang-kala kepalanya turut
dihantuk ke dinding.
“Hiiindun!”
Satu suara keras memanggilnya.
Sangat keras. Ibarat petir. Tidak mustahil ia mampu memekakkan telinga yang
mendengarnya ketika itu.
Mata Hindun yang merah kerana
menangis, terbeliak. Dia terkejut namanya dipanggil dengan kuat . Tangannya
menutup kedua-dua telinganya. Kepalanya menoleh-noleh ke kanan dan kiri mencari
siapakah yang memanggilnya sebentar tadi. Badannya menggigil dengan sendirinya
dek kerana cemas dan ketakutan.
“Hoi! Hindun!”
Suara itu berteriak lagi.
“kkkau… kau ..siapa ha?”, balas Hindun teragak-agak.
“Aku siapa itu tak penting!
Tapi kau siapa itu yang lebih penting sekarang!”,jawab suara itu.
Hindun melingas di setiap sudut.
Masih mencari-cari arah daripada mana suara itu datang. Sunyi sepi sahaja
ketika ini. Tiada bunyi lain selain daripada bunyi suara mereka berdua.
“siapa kau? Dan apa tujuan kau
dijadikan?”, suara itu
menyoal Hindun.
Hindun bertambah bingung.
Soalannya dijawab dengan soalan yang sama diajukan kepadanya. Ya soalan yang
pertama mungkin mudah baginya. Sudah tentu dia adalah manusia yang diciptakan
daripada tanah liat hitam dan busuk tapi, mengenai soalan kedua dia terlupa.
Apa tujuan manusia dijadikan? Dia ligat berfikir mencari jawapan. Otaknya
kuat bekerja. Menyelak kembali fail-fail memori lama yang mungkin dia boleh
perolehi jawapannya dalam memori sekolah agama tempat dia menimba ilmu dahulu.
Soalan yang tidak memerlukan kira-kira seperti matematik dan uji kaji seperti
sains ini mengambil masa yang sangat lama untuk dijawab. Akhirnya dia ingat
jawapannya yang pernah dibaca dalam buku teks yang dia sempat khatamkan dari
kulit ke kulit sebelum menduduki peperiksaan ketika zaman dia bersekolah.
“aaku..aku……aku manusia. Dan
ttu..tujuan aku dihidupkan adalah untuk beribadah kepada Allah”, Jawab
Hindun gagap.
“oh! Kau sedar diri kau
manusia ya? Dan…Wah! kau yakin kau dihidupkan untuk beribadah,”suara itu
menyindirnya.
Hindun tersentak. Kata-kata itu
seperti menampar pipinya. Dia senyap. Suasana amat sepi. Tiada bunyi cengkerik.
Deruan angin juga tiada. Gelap pekat zulumat.
Tiba-tiba, suasana sepi tadi
didatangi dengan bacaan dua ayat Al-Quran yang berbunyi:
Maksudnya:
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi
kepada-Ku.
Maksudnya:
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata:
"Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan
membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa
bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman:
"Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Mungkin dalil ini adalah jawapan
bagi soalan tadi.
“adakah kau sudah benar-benar
mengabdikan diri kau kepada Allah?,” suara itu kembali menyoalnya.
Hindun tidak menjawab
“Hoi! Jawab!.”
Kali ini jeritan suara itu
menyakitkan tubuhnya. Belakang badannya terasa seperti dilibas dengan jeritan
suara itu. amat perit.
“aaaaaaaargh… ss.ssa..sakit…” Hindun
mengerang kesakitan.
“jawab!”..
Hindun dipukul lagi dengan suara
itu. Berkali-kali. Walaupun hakikatnya tiada sebarang objek pun yang menyentuh
tubuhnya. Hanya suara itu. tapi Hindun berasa sakit. Jeritan itu membuatkan dia
sakit.
“Kau degil! Kau ego! Kau
sebenarnya telah lupa hakikat kau dijadikan Allah di bumi ini. Kau tak
bersyukur! Apa kau ingat dengan hanya cemerlang dalam pelajaran, mampu
meluluskan kau untuk menjawab soalan munkar nakir di kubur nanti?”.
Suara itu memukul Hindun
habis-habisan. Kulit belakang badannya mulai terkoyak. Darah merah deras mengalir.
Hindun mengerang kesakitan. Dia
menangis. Kali ini lebih kuat. Dia menjerit.
“tt..Ta..Tapi, bukankah menuntut
ilmu juga dikira ibadah?..”. Hindun
cuba membela dirinya.
“Ya benar apa yang kau
katakan. Tapi, adakah kau ikhlas menuntut ilmu itu kerana Allah? Bukahkah kau
mementingkan diri sendiri?! Bukankah kau langsung tidak menghiraukan rakan kau
yang selalu ingin meminta bantuan daripada engkau untuk mengajarkannya? Kau
hina mereka… Kau katakan mereka bodoh! Kononnya kau seorang yang pandai hingga
kau lupa ada yang Maha Bijaksana di atas sana. Sekarang, semuanya sudah
terlambat. Kau tidak layak untuk diangkat sebagai orang yang berilmu di sisi
Allah. Bersedialah di barzakh sana! Rumah sempit penuh ular berbisa, gelap dan
tiada siapa akan mendengar pertolongan kau!.. dua malaikat siap sedia menanti
kau di sana. Bersedialah! ”
Suara itu menakutkan Hindun. Dia
menangis sambil menahan kesakitan. Dia masih tertiarap sambil cuba mengangkat
mukanya. Dia cuba bangun tapi tidak berdaya. Luka di belakangnya sangat pedih
seperti ditambah dengan siraman asid.
“Aa..aaduh.. Sakitnya Ya
allah.. Ya aku sedar aku salah… Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah…. Selama ini
aku hidup dengan penuh kebanggaan dan sikap sombongku Ya Allah… Aku terlalu
mengejar dunia. ..Sedangkan negeri yang kekal sebenarnya adalah akhiratMu Ya
Allah… Aku terlalu bangga dengan kejayaan ku dan selalu merendah-rendahkan
orang lain. Sedangkan aku lupa itu semua adalah pemberian dariMu Ya Allah….”
Hindun mulai insaf. Dalam
kesakitan yang teramat itu, dia cuba juga untuk berdoa.
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Aku
takut untuk menghadapi munkar dan nakir di dalam kubur nanti ya Allah... Aku
yakin aku tidak mampu untuk menjawab soalan mereka ya Allah… Aku sakit ya
Allah.. Argh.. Aku takut akan ular berbisa di dalam kubur itu ya Allah. Aku
takut akan dibakar api neraka ya Allah. Tolong ya Allah! Hidupkanlah aku walau
sesaat untuk aku bertaubat kepadaMu ya Allah yang Maha Pengampun dan
penyayang….”
Hindun berdoa. Suara Hindun
tersekat-sekat. Dia menyebut kembali segala dosa-dosanya. Dia teringat solat
lima waktu yang selalu diabaikan. Auratnya yang tidak sempurna ditutup. Pakaian
ketatnya. Malah mengejek Asmah yang memakai tudung labuh seperti hantu. Ya!
Asmah. Dosanya pada Asmah terlalu banyak. Dia selalu menyakitkan hati teman
sebiliknya itu. begitu juga dengan ibunya di kampong. Dia selalu menjadikan assignment sebagai alasan
ketika ibunya meminta dia pulang ke rumah. Sedangkan ibunya selalu rindu
padanya tambahan pula Hindun adalah anak tunggalnya.
“ibu! Maafkan Hindun ibu.
Hindun anak derhaka. Hindun selalu anggap ibu ni batu penghalang untuk Hindun
berjaya. Hindun anak derhaka ibu.. Tolong Hindun, ibu.. Hindun dah mati. Kubur
tu gelap ibu.. Hindun takut ibu.. hindun nak cium bau syurga ibu.. Hindun tak
nak masuk neraka..”
“Ya Allah.. hidupkanlah aku walau
sesaat untuk aku bertaubat dan meminta ampun kepada semua orang Ya Allah..”
Hindun sekali lagi meminta untuk
dihidupkan semula.
Maksudnya:
(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian
kepada seseorang dari mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikanlah Aku
(ke dunia), Agar Aku berbuat amal yang saleh terhadap yang Telah Aku
tinggalkan. sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang
diucapkannya saja. dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka
dibangkitkan.
Sekali lagi bacaan surah itu
bergema memenuhi ruang itu.
“ttiiidak!!! Tolong!! Ya
Allah!” Hindun menjerit
sekuat hatinya. Anak tekaknya seperti hendak terkeluar.
Hindun sepertinya tahu apa
jawapan daripada doanya sebentar tadi. Dia sudah terlambat. Dia sudah mati.
Tiada apa yang dia boleh lakukan melainkan bersedia menghadapi alam barzakh dan
menunggu amalnya dihisab di mahsyar kelak.
“Aaaaaargh..Tiiidaakkk!
jangan…….”
Tiba-tiba suasana gelap bertukar
terang benderang. Matanya silau. Tangannya menutup matanya.
“Hindun! Hindun!.. bangun.
Kenapa ni? ,” suara Asmah lembut. Dia yang sedang berzikir di tikar sejadah
usai solat tahajud, terperanjat dengan jeritan Hindun.
Hindun yang melihat Asmah memakai
telekung, menjerit ketakutan lalu menekup mukanya dengan tangannya. Dia
meronta-ronta.
“aaaaa.. jangan!,”
“Hindun, kenapa ni? Ni aku lah
Asmah. Kau mengigau ni.” Asmah kehairanan melihat Hindun begitu. Dia
seperti baru sahaja melihat hantu.
Hindun segera bangun duduk
bersila di atas tilamnya. Tubuhnya berpeluh. Dia meraba belakang
badannya. Tidak sakit dan tiada darah. Dia memeluk Asmah.
“Asmah... Tolong aku Asmah.
Aku sakit. Aku kena azab. sakit sangat. Badan aku koyak.”
“Astaghfirullah..Ish. Kau mimpi
ni. Cuba istighfar.” Asmah memujuk tenang.
“tak Asmah. Dalam mimpi tu, Aku
mati. Lepas tu, aku kena pukul. Ya Allah, sakitnya..”
“Asmah, jangan tinggalkan aku...
Bimbing aku ke jalan yang benar..selama ini aku lupa pada kekuasaan Allah. Aku
lupa pada rezeki yang Allah bagi. Aku lupa akan ilmu yang Allah bagi. Aku
sombong..aku selalu hina kau. Maafkan aku Asmah. Tolong aku Asmah, jangan
tinggalkan aku seorang di neraka.. bawa aku bersama kau masuk syurga.” Hindun
menghina dirinya. Tangannya menggenggam erat tangan Asmah. Kata-katanya penuh
mengharap.
Asmah tersenyum. Dia memeluk
Hindun erat.
“sahabatku Hindun, Aku
bukanlah insan yang dijamin syurga. Aku juga manusia biasa yang masih belajar
mengenal erti hidup. Balasan syurga dan neraka bukan kita yang tentukan. Itu
semua hak Allah. Kita sebagai hambaNya memang kena sentiasa mengharapkan
kehidupan yang terbaik di akhirat sana. Caranya? Mentaati suruhannya,
meninggalkan larangannya, dan amal makruf nahi mungkar. Sama-samalah kita
berusaha menggapai kesejahteraan di akhirat dan merebut cintaNYA.. Insya Allah
sahabatku..”
“insya Allah…”balas
Hindun lemah. Pelukannya bertambah erat. Pipi Asmah dicium tanda kasih seorang
sahabat. Air matanya bertambah deras. Dia bersyukur Allah masih menyayanginya.
Segala apa yang dilaluinya sebentar tadi terasa seperti benar-benar terjadi.
Siapakah yang menyoalnya dalam mimpinya tadi, tidak penting. Yang lebih utama,
dia benar-benar ingin bertaubat.
Manakala Asmah tidak henti-henti
memanjatkan syukur pada Allah. Selama ini, saban malam dia berdoa supaya
dilembutkan hati sahabatnya itu. Alhamdulillah. Allah mengabulkan doanya.
Kedua-dua sahabat itu masih
berpelukan. Jauh di suatu sudut, ada makhluk yang sedang berduka. Misinya kali
ini gagal.
“argh! Damn!” dia menjerit. Hatinya
penuh benci melihat Asmah dan Hindun berpelukan. Cita-citanya untuk menyesatkan
Hindun dan mempengaruhi Asmah melakukan maksiat berkecai. Malah Hindun pula
yang insaf dibimbing Asmah. Perancangan lebih kemas dan kreatif harus segera
dilaksanakan bagi menyesatkan mangsa seterusnya. Hal Asmah dan Hindun serah
saja pada ketua mereka yang lebih berpangkat. Mungkin si Jeneral itu lebih
berpengalaman luas dalam menyesatkan manusia.
Siapakah makhluk ini? Siapa lagi
kalau bukan satu-satunya makhluk yang tidak mahu sujud pada manusia suatu
ketika dahulu, iblis laknatullah!
-T.A.M.A.T-
Karya:
Norazlinda bt Amin
2- SPM
Fakulti Pendidikan
013-3706467
KTF
linumi_sara@yahoo.com
2- SPM
Fakulti Pendidikan
013-3706467
KTF
linumi_sara@yahoo.com
0 Responses to “Cerpen:Mimpi Semalam”
Post a Comment