Followers

Showing posts with label Panduan. Show all posts
Showing posts with label Panduan. Show all posts

Wednesday, October 6, 2010

Sukan Islam wajar dipopularkan!

Semua kita sedia maklum akan kepentingan sukan untuk kesihatan. Apa yang mengekang penglibatan umat Islam terutamanya wanita dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ialah kod pakaiannya yang tidak menutup aurat.

Islam menggalakkan umatnya bersukan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah... (riwayat Muslim)


Mari kita hayati pengalaman
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HAYAT SUEET menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Badlihisham Mohd. Nasir(Gambar) bagi   mengupas isu ini.

UM: Apakah hukum bersukan dalam Islam?

DR. BADLIHISHAM: Dalam Islam, sukan adalah harus dan digalakkan. Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. Antaranya, ajarkan anak-anak kamu memanah dan menunggang kuda. Dalam hadis yang lain, baginda turut menyebut tentang berenang.

Mengikut sejarah Islam, Dr. Ahmad Shalaby membahagikan sukan kepada dua iaitu yang melibatkan pergerakan tubuh badan seperti berlari dan berenang.

Kategori kedua ialah yang membabitkan mental seperti catur, sahibba dan karom.
Baginda juga pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya. Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.

Dalam peristiwa lain, Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, saidatina Aishah. Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.
Kejayaan Ruqaya Al Ghasara dalam Sukan Asia di Doha tahun lalu membuktikan pakaian menutup aurat bukan penghalang kejayaan dalam sukan.


Apakah langkah yang patut diambil oleh pengeluar fesyen tempatan dalam hal ini?

DR. BADLIHISHAM: Masyarakat kita pada amnya sudah melepasi fobia takut dengan sesuatu yang dikaitkan dengan Islam. Kita telah melalui fasa kaget ini apabila berjaya memperkenalkan Bank Islam dulu. Masyarakat kita kini secara amnya telah terdedah dengan pendekatan dualisme.

Perkembangan dalam Sukan Asia 2006 itu perlu diambil peluang oleh pengeluar fesyen tempatan. Mereka wajar merebut peluang ekonomi ini dengan menghasilkan pakaian menutup aurat untuk manfaat masyarakat Muslim terutama wanita bersukan.

Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan pengguna Muslim perlu bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan hasrat ini.
Dalam masa yang sama, para penyelidik dan pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengkaji secara mendalam supaya menghasilkan pakaian yang bukan sahaja menutup aurat tetapi dari segi saintifiknya tidak menjejaskan mutu larian.

Sukan kini mengandungi nilai ekonomi dan hubungan sesama manusia. Bagaimana umat Islam boleh memanfaatkan hal ini untuk berdakwah?

DR. BADLIHISHAM: Sememangnya sukan kini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Islam sebagai agama yang lengkap meraikan unsur ekonomi bagi pembangunan manusia. Namun ia masih mengandungi unsur syubhat dari segi penontonnya yang bercampur lelaki dan perempuan serta dasar sukan yang berkiblatkan Barat.

Ini mendatangkan masalah besar kepada umat Islam untuk bergiat serius dalam sukan, di samping kelemahan memajukan bidang sukan. Bagaimanapun, umat Islam yang melibatkan diri dalam sukan secara profesional perlu mempunyai jati diri. Jangan hanya mengikut acuan Barat.
Dalam semua keadaan, ibadat wajib seperti solat dan puasa perlu ditunaikan walaupun bagi atlet yang bertanding di peringkat Olimpik sekali pun.
Dari segi dakwah, sukan boleh membantu. Contohnya, kejayaan cemerlang petinju terkenal Muhammad Ali sedikit sebanyak menaikkan moral orang Islam di dunia. Beliau kini melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan dalam Nations of Islam di Amerika.

Dari segi dakwah di Malaysia, sukan boleh digunakan sebagai ice breaker bagi menyelami kehidupan mad’u dengan lebih mendalam. Pengalaman jabatan saya di perkampungan orang asli membuktikan hal ini. Kita berjaya merapatkan jurang antara peserta dan penduduk kampung melalui sukan bola sepak dan sukaneka.

Ada umat Islam apabila bersukan lupa akan batas aurat dan pergaulan dengan bukan mahram. Bagaimana hendak membetulkan keadaan ini? 

DR. BADLIHISHAM: Batas aurat lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu sentiasa dijaga. Kecuali kita meliberalkan asas atau prinsip itu demi kononnya mencapai matlamat sukan yang dikehendaki dunia moden kini.
Justeru, kita memerlukan gabungan kepakaran antara para atlet dengan alim ulama bagi mengharmonikan dua jurang yang besar dalam perkara ini.
Persoalan yang mungkin wajar diberi perhatian ialah adakah perlu diasingkan kedudukan penonton lelaki dan wanita. Adakah perlu dibataskan acara renang wanita kepada kaum wanita sahaja?
Dalam peristiwa Nabi Muhammad berlumba lari dengan Aishah, secara logiknya ia dilakukan di kawasan terbuka. Ia mungkin disaksikan orang ramai kerana yang berlari itu adalah Rasulullah. Tetapi logik ini perlu diimbangi dengan prinsip yang menitikberatkan soal akhlak dan lain-lain.

MSN boleh memainkan peranan dalam hal ini dengan turut menitik beratkan pembinaan dan pelaksanaan polisi sukan menurut Islam.
Sebagai sebuah negara Islam, sudah tiba masanya Malaysia mempelopori temasya sukan berlandaskan adab Islam. Apa pandangan Dr?

DR. BADLIHISHAM: Kita seharusnya mengambil peluang ini. Sebabnya negara kita terbukti hebat dan berjaya menganjurkan pelbagai persidangan mahu pun sukan peringkat antarabangsa.
Islamnya sesuatu pertandingan itu bukan diukur dari menutup aurat tetapi juga harus dilihat dari mengekang aspek pembaziran dalam mengendalikan sukan.

Buat permulaan, Jakim sekali lagi perlu mempelopori dari segi menyediakan polisi adab sukan menurut Islam. Mungkin kerajaan boleh menganjurkan seminar melibatkan ahli-ahli sukan, MSN dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Antara tokoh yang boleh dilibatkan ialah seperti bekas wanita besi negara, Zaiton Othman dan Prof. Datuk Dr. Khoo Kay Kim mewakili bukan Islam.

Kita perlu menggerakkan usaha ini supaya umat Islam mempunyai identiti sukannya sendiri. Ini penting agar kita tidak terus dikongkong dalam kerangka sukan yang dipelopori oleh Barat.

Ingatlah pesanan Rasulullah dalam hadisnya, Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak langkah mereka sebelum kamu sejengkal-sejengkal dan sehasta-sehasta. Sehingga kalau mereka memasuki lubang biawak, kamu akan ikut sama. Kata kami (sahabat), wahai Rasulullah! Adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Sabdanya, siapa lagi? (riwayat Syaikhan)

Bagaimana pula kedudukan kesederhanaan dalam bersukan?

DR. BADLIHISHAM: Pertamanya, jangan meletakkan sukan sebagai segala-galanya. Ini bercanggah dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam yang meminta takrifan sederhana itu dilihat dari kaca mata Islam itu sendiri.
Dalam melaksanakan apa juga yang dibenarkan dalam Islam, kita hendaklah meletakkan hukum mengatasi segala-galanya.

Kita juga jangan terlalu taksub dengan sukan. Jangan meniru perlakuan ganas yang sering ditunjukkan oleh penyokong bolasepak England.

Sesuai dengan matlamat sukan untuk menyihatkan badan, jangan kita mengambil barang larangan termasuk dadah seperti steroid.
Atlet atau pemain juga perlu mengelak daripada terlibat dalam rasuah.

Bolasepak negara misalnya masih belum mencapai tahap kegemilangan seperti pada zaman Allahyarham Mokhtar Dahari walaupun kini para pemain diberi pelbagai insentif dan elaun yang tinggi.

Akhirnya, dalam setiap perlakuan atau detik hidup ini jangan kita lupa tanggungjawab kepada Allah. Sukan adalah wasilah atau mekanisme bukan matlamat

SUMBER ARTIKEL

Monday, March 29, 2010

PANDUAN DARI UTM

1. Buku Panduan Menjalankan Aktiviti Pelajar UTM Klik Sini
2. Panduan Pembacaan Doa Dalam Majlis / Program*

Majlis / program yang BOLEH dilakukan pembacaan doa:
a) Majlis / program yang tidak mengandungi unsur-unsur kemungkaran seperti pembukaan sidang dewan perundangan, mesyuarat dan majlis angkat sumpah. Bacaan doa boleh diawalkan dan majlis juga boleh ditutup dengan doa.
b) Majlis / program sosial yang terdapat aturcara persembahan hiburan (dan kebudayaan) yang biasa**. Maka bacaan doa hendaklah diawalkan dan tidak perlu majlis ditutup dengan bacaan doa.

Majlis / program yang TIDAK BOLEH dilakukan pembacaan doa:
a) Majlis / program yang tidak ada kaitan dengan upacara agama seperti perlumbaan kereta, motorsikal, bot laju, pertandingan golf dan pertunjukan sarkas.
b) Majis / program yang menyediakan makanan datau minuman yang diharamkan oleh Islam.
c) Pesta hiburan dan acara kebudayaan seperti tayangan filem perdana dan konsert nyayian dan tarian yang melalaikan.
d) Perayaan yang menonjolkan unsur-unsur kemungkaran, pendedahan aurat seperti ratu cantik, sukan wanita dan pertunjukan fesyen.
*Diadaptasi dari "Garis Panduan Pembacaan Doa" yang dikeluarkan olej Majlis Agama Islam Johor. Semak juga "Panduan Baca Doa" Drp JAKIM

3. Panduan Kegiatan Kesenian / Hiburan / Kebudayaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadab dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadab, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadab, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menaikkan semangat jihad adalah harus.

Keputusan muzakarah fatwa tersebut jelas menyatakan bahawa Islam tidak menghalang masyarakat daripada berhibur malah dalam beberapa keadaan ia sangat digalakkan. Jika dengan nyanyian ia boleh membangkitkan semangat untuk bergerak maju, berusaha, membentuk masyarakat maka ia bertepatan dengan seruan kebaikan yang sentiasa digalakkan . Walau bagaimanapun ia perlu menepati kriteria syarak yang mementingkan kesejahteraan masyarakat dan tidak menggalak kepada perpecahan dan penghinaan.

Hiburan yang dimahukan oleh Islam adalah hiburan yang berasaskan kepada penghayatan Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap. Ia merangkumi kemajuan intelektual, akhlak dan pendidikan masyarakat. Keseimbangan inilah yang mesti diusahakan oleh golongan seniman dalam mencapai tuntutan dunia hiburan; iaitu membentuk masyarakat memiliki nilai-nilai murni, beragama dan berakhlak. Dengan demikian hiburan yang berteraskan agama dan nilai-nilai akhlak bukan menjadi bencana kepada masyarakat sebaliknya akan menjadi rahmat atas dasar jika mereka tahu memilih antara yang baik dengan yang buruk untuk disajikan kepada masyarakat.

Justeru kewajipan golongan seniman sekarang adalah sentiasa melakukan pengkajian, penelitian, kritikan dan penilaian semula terhadap hasil kerja seni mereka. Apa yang jelas, Islam mengingkari sikap orang yang jumud dan tidak memiliki inisiatif dan daya inovatif dalam kehidupan. 
wallahu a'lam.
4. Dasar Kebudayaan & Kesenian UTM (1993)
a) Persembahan kebudayaan bercorak percampuran jantina tidak dibolehkan.
b) Setiap persembanhan haruslah mempunyai sifat sederhana dari segi kebisingan, gaya persembahan dan (jika boleh) memasukkan unsure sains dan teknologi dalam persembahan.
c) Pakaian semasa persembahan hendaklah menutup aurat dan bersesuaian mengikut konteks persembahan.
d) pemilihan irama muzik mestilah berirama lembut, kemelayuan dan memenuhi citarasa.
e) setiap persembahan hendaklah tidak melanggar tatatertib, sentiasa bermoral tinggi dan tidak ada unsur-unsur khurafat yang bertentangan dengan Islam.
f) setiap persembahan yang diadakan di waktu malam hendaklah dimulakan selepas solat Isyak dan tidak boleh dianjurkan pada hari Khamis malam Jumaat, pada bulan puasa dan pada hari kebesaran Islam yang lain.
g) tidak membenarkan kumpulan budaya luar dibawa masuk ke kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.
h) persembahan kebudayaan wanita hendaklah untuk tontonan wanita sahaja.
i) peraturan-peraturan lain yang ditetapkan dari masa ke semasa.

**Contoh program / aktiviti yang sesuai dengan panduan ini adalah seperti:
1. Tarian Kuda Kepang tanpa unsur tahyul & khurafat.
2. Dikir Barat yang membawa mesej nasihat.
3. Zapin yang ditarikan oleh lelaki.
4. Lagu yang berunsur nasihat dan membawa mesej positif
5. Artis yang mempunyai latar belakang akademik yang boleh dicontohi, serta memenuhi adap sopan sebagai seorang Melayu & muslim.





SUMBER
 

KATA-KATA HIKMAT

Kecantikkan yang abadi ialah pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan pada wajah dan pakaiannya.

Blogroll

Lsk

About

LSK